Pengenalan

PERIA KATAK atau nama saintifiknya Momordica Charantia, sejenis sayuran pahit rasanya tetapi memiliki seribu satu khasiat kepada kesihatan manusia. Dalam perubatan Ayurveda misalnya, masyarakat India menggunakan peria katak bagi merawat ekzema dan jangkitan kulit, manakala masyarakat Amerika pula memanfaatkan khasiat peria untuk mengubati malaria dan demam. Bagi masyarakat Melayu, selain dijadikan ulam, peria katak umpamanya, berperanan sebagai jus minuman harian kerana dipercayai menjadi penawar diabetes. Sebenarnya, sejak zaman purba, peria banyak digunakan bagi merawat asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur lantas menunjukkan kebaikan tumbuhan ini untuk dijadikan makanan harian.


Manfaat


1) Menurunkan paras glukos dalam darah

Buah peria dikatakan berkesan dalam menurunkan paras glukos dalam darah. Peria tidak menjurus kepada satu-satu organ dalaman atau tisu tertentu dalam badan seperti ubat-ubatan, ia hanya memudahkan fungsi metabolisme glukos dalam darah. Hal ini kerana, peria mempunyai dua sebatian penting yang dikenali sebagai charantin dan momordicin yang memainkan peranan penting dalam menurunkan paras glukos dalam darah.


2) Melancarkan proses penghadaman karbohidrat

Buah peria berupaya dalam menghalang enzim terlibat dalam memecah disakarida kepada dua monosakarida yang menyebabkan pengurangan jumlah glukos yang dilepaskan dalam darah. Buah peria sangat berguna dalam membantu merawat diabetes jenis 1 dan jenis 2. Hal ini, peria dapat mempengaruhi penyaluran insulin untuk glukos supaya dapat berfungsi dengan baik.


3) Meningkatkan proses rembesan insulin

Tujuan utama insulin dalam tubuh adalah terlibat dalam menyalurkan gula daripada saluran darah ke seluruh tisu, otot dan lemak dalam tubuh. Gula ini sebenarnya akan menghasilkan tenaga untuk tubuh badan dan fungsi insulin adalah menghalang pengeluaran gula oleh hati dan dilepaskan dalam darah. Penyakit diabetes jenis 1 berpunca daripada kegagalan pankreas dalam menghasilkan insulin yang mencukupi untuk tubuh badan. Dengan meningkatkan proses rembesan insulin pankreas, peria mampu membantu dalam merawat diabetes jenis 1.


4) Membaiki masalah mata

Kandungan beta-karotene yang tinggi dalam peria dapat membantu memperbaiki penglihatan serta menjaga mata.


5)  Baik untuk perut

Peria katak sememangnya agen pencernaan yang bagus dan membantu menghalang daripada terjadinya sembelit kerana peria katak mengandungi selulosa yang merupakan sumber serat terbaik. Selain itu, rasa pahit peria katak  berperanan merangsang hormon aktif pencernaan dalam sistem penghadaman.

6) Cantikan kulit

Peria katak mempunyai kandungan vitamin C yang  tinggi untuk merangsang sel kulit dan menjadikan kulit cantik dan berseri.